Saman fitnah Ramli Yusuff-Musa Hassan selesai luar mahkamah


Kes saman fitnah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang didakwa mengeluarkan kenyataan mencemar reputasi beliau dalam satu sidang media pada Disember tahun lepas diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Penyelesaian itu direkod Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham dalam kamar.

Peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, yang mewakili Musa, berkata ekoran penyelesaian itu, mahkamah membenarkan Ramli menarik balik saman berkenaan.

Musa, selaku defendan, turut diperintah membayar kos RM10,000 kepada Ramli, yang diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Terma lain penyelesaian kes itu bagaimanapun tidak didedah kepada media.

Sejurus prosiding berakhir, Ramli dan Musa dilihat meninggalkan kawasan mahkamah secara berasingan.

Ramli memfailkan saman terhadap Musa pada 28 Februari lepas.

Bekas pengarah JSJK itu juga, antara lain, mendakwa kenyataan Musa menggambarkan bahawa beliau seorang yang tidak jujur, tidak amanah, telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara dan telah membuat pengisytiharan palsu berkaitan aset serta harta terkumpul miliknya.

Sehubungan itu, Ramli menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Beliau turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Musa daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu. - Bernama, 30 Oktober, 2013

No comments

Powered by Blogger.